Tuesday, 18 December 2012

FAHAMI NILAI PENDIDIKAN


Pendidikan di Malaysia tidak pernah lari daripada krisis. Pelbagai masalah menimpa seperti keberkesanan sistem pembelajaran dipersoalkan, sistem peperiksaan dikatakan menjadi punca tekanan,  masalah keboleh-pasaran graduan universiti, rasuah pensyarah, isu PPSMI, isu PTPTN, isu kebebasan akademik, AUKU yang dikatakan mengongkong mahasiswa, isu plagiarisme dan banyak lagi. Ironinya, tidak sedikit tindakan daripada pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut, namun tetap tidak dapat diselesaikan, malahan saban hari semakin banyak masalah menimpa.
Yang pasti, tindakan penyelesaian masalah harus difikirkan secara mendalam. Yang seharusnya diselesaikan itu akar permasalahan, bukan gejala daripada masalah. Mungkin yang patut diselesaikan itu cuma 20% daripada punca masalah keseluruhan. Dengan 20% akar permasalahan yang selesai ini bakal menyelesaikan 80% kesan masalah yang lain seperti yang digariskan dalam Prinsip Pareto.
Justeru, bagi penulis, perkara utama yang harus diselesaikan dalam konteks pendidikan negara ialah 'kembali memahami makna pendidikan yang sebenar' dan 'kembalikan semula nilai pendidikan'.
Krisis Pendidikan Negara
 Fareed Zakaria dalam makalahnya bertajuk 'The Education of a President: Harvard's new leader is right to try to raise standards–but he needs to do it for everyone', menyinggung akan permasalahan ini dengan meyatakan salah satu daripada tragedi pendidikan moden di Amerika ialah penukaran presiden universiti (college president) daripada intellectual kepada para birokrat. Persoalannya, apakah birokrat yang diangkat menjadi presiden universiti ini memahami falsafah pendidikan dan roh university?
Mengulas kenyataan Fareed Zakaria ini, Siddiq Fadzil tanpa berlapik lagi melampiaskan fenomena "one of the minor tragedies" yang berlaku dalam sistem pendidikan tinggi Amerika ini ke atas Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia lewat pertanyaan, "tidakkah kita juga menyaksikan gejala semakin memudarnya wibawa kesarjanaan pimpinan IPT? Warga IPT rata-rata tidak lagi berasa bernaung di bawah naungan teduh seorang sarjana besar, sebaliknya lebih berasa berada di bawah arahan CEO sebuah syarikat. Apakah ini bukan sejenis minor tragedy juga?"

Montimer J. Adler, dalam pengalamannya sebagai seorang ahli akademik terkemuka turut melahirkan keluhan beliau terhadap 'pendidikan' dan 'persekolahan' lewat tulisan beliau berjudul Schooling Is Not Education dan menyatakan sepanjang 40 tahun pengalamannya sebagai pendidik dan ahli akademik, beliau membuat kesimpulan bahawa tiada seorang pun yang telah dan boleh dididik di sekolah atau kolej.
Naib Chanselor UTM, Profesor Dato' Ir. Dr. Zaini Ujang (2009) dalam mengungkapkan perkembangan disiplin ilmu di universiti mengakui akan tuntutan dan pengaruh kuat pasaran semasa. Ini mengakibatkan disiplin ilmu asas seperti falsafah, teologi, sejarah, matematik, kimia, ilmu wahyu, sains kemanusiaan dan kajian bahasa tidak begitu mendapat sambutan dalam kalangan calon mahasiswa berbanding jurusan-jurusan seperti sains gunaan, multimedia dan teknologi. Sebab utama – tuntutan pasaran kerja.
Beliau menambah: "sesuai dengan kefahaman serta kefahaman itulah maka falsafah, nilai, gagasan serta peranan universiti juga berubah mengikut keperluan pasaran kerja, khususnya daripada perspektif ilmu moden. Kenyataannya, ketika ini ilmu falsafah yang satu ketika dahulu menjadi 'ilmu wajib' sudah hilang peranan dan kepentingannya dari perspektif calon mahasiswa. Disiplin ilmu yang lebih diberi keutamaan ketika ini ialah ilmu sains dan sastera gunaan serta teknologi.".
Walaupun tampak perkembangan dan pertumbuhan IPT di Malaysia semakin pesat, namun kepesatan pertumbuhan IPT ini sebenarnya tidak layak menjadi indikator keberdayaan universiti melahirkan graduan yang tercerah dan cerdas, yang diharapkan menjadi the enlightened group, sebaliknya kelumpuhan berlaku meranapkan idea universiti sebagai simbol wibawa keintelektualan dan pencerahan pemikiran.
Sehubungan itu, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'pendidikan'?
Makna Pendidikan dan Persolannya
Secara umum, pendidikan bermaksud 'suatu proses menerapkan/menyuntik sesuatu terhadap manusia' (a process of instilling something into human being). Berdasarkan definisi ini, 'suatu proses menerapkan/menyuntik' (a process of instilling) merujuk kepada kaedah atau metodologi dan sistem penyaluran pendidikan (mekanisme). Manakala, 'sesuatu' (something) pula merujuk kepada kandungan dan bahan yang ingin dimasukkan dan manusia (human being) merupakan penerima proses dan kandungan. Maka, pendidikan mengandungi tiga unsur fundamental sepertimana yang dihuraikan tadi iaitu: (1) proses, (2) kandungan, (3) penerima. (rujuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam: A Framework for An Islamic Philosophy of Education, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1999).
Persoalannya, bagaimana pendidikan sebagai proses penyaluran ilmu kepada manusia berlaku? Apa kandungan ataupun ilmu yang diajarkan? Apa tujuan pendidikan? Apa hasil yang bakal dikecapi oleh penerima kandungan melalui proses pendidikan itu? Melihat suasana institusi pendidikan dewasa ini, juga graduannya menimbulkan lebih banyak persoalan. Apakah pendidikan hanya sebagai alat untuk mendapatkan profesyen yang baik? Apakah matlamat institusi pendidikan yang sebenarnya, mendidik atau mengaut keuntungan? Realiti pendidikan hari ini mungkin telah tersasar dengan keperluan insan dan tujuan asal pendidikan. Pendidikan hari ini merupakan pendidikan yang telah di'komoditi'kan, di'komersialisasi'kan dan di'politisasi'kan.
Siddiq Fadzil (2009) dalam kritikannya terhadap pendidikan tinggi masa kini menyatakan:
"Masalah yang kita hadapi sebenarnya bukan hanya kelesuan IPT, tetapi dunia pendidikan keseluruhannya sedang ditimpa krisis. Sistem pendidikan di pelbagai rantau dunia ketika ini sedang dipersoalkan dari pelbagai sudut. Ada yang mempersoalkannya dari segi biayanya yang terlalu tinggi melewati batas jangkauan majoriti rakyat. Akibat komersialisasi yang bermotif mengaut keuntungan, rakyat harus membayar mahal sedang kualitinya belum pasti. Dengan ketiadaan biasiswa dan bantuan yang mencukupi biaya pendidikan terbeban sepenuhnya di bahu ibu-bapa. Untuk itu mereka yang kurang mampu akan terpaksa bergolok bergadai. Keadaan inilah yang meresahkan masyarakat. Di Indonesia misalnya, telah terbit buku-buku dengan judul bernada protes seperti, "Pendidikan Yang Memiskinkan" dan "Orang Miskin Dilarang Sekolah."

Bagaimana pula dengan nasib pendidikan di negara ini? Andainya demokratisasi dan privatisasi pendidikan mahu direalisasikan oleh kerajaan, seharus kerajaan memastikan semua lapisan rakyat dapat menikmati pendidikan berkualiti dengan kos yang terjangkau. Kegagalan melaksanakan dasar ini akan mewujudkan keadaan survival of the richest, di mana pendidikan berkualiti menjadi monopoli segelintir kaum elit.
Makna dan nilai pendidikan seharusnya menjadi suatu yang jelas bagi pemerintah, para ahli akademik dan pentadbir institusi pendidikan. Kegagalan memahami nilai pendidikan akan menjerumuskan masyarakat terpelajar ke dalam kancah kekeliruan yang akhirnya membuahkan tindakan-tindakan tanpa moral; para birokrat yang korup, penyelewengan dan salah gunakuasa, jenayah kolar putih dan sebagainya. Makna pendidikan perlu difahami dan nilai pendidikan wajar dikembalikan!
Rujukan:
1.  Siddiq Fadzil, Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan, (Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Dar al-Hikmah, 2009)
2.  Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin, (KL: ISTAC, 2001)
3.  Fareed Zakaria, The Education of a President: Harvard's new leader is right to try to raise standards–but he needs to do it for everyone. (Lawrence Summers) (Brief Article),http://www.encyclopedia.com/doc/1G1-81469874.html
4.  Montimer J. Adler, "Schooling Is Not Education", http://www.cooperativeindividualism.org/adler-mortimer_schooling-is-not-education.html
5.  Zaini Ujang, Universiti, Kreativiti, Inovasi, (Johor: Penerbit UTM, 2009)
6.  Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam: A Framework for An Islamic Philosophy of Education, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1999)

JATUH


Saat hati sedang di landa ribut taufan yang tak mahu berhenti. Saat diri mahu bertukar menjadi raksasa dan mengamuk dengan semua yang ada. Saat fikiran berserabut seperti benang kait yang bersimpulan tiada tanda penghujung. Saat dunia kelihatan seperti hitam kelam tanpa warna yang menyerikannya.
Saat itu datang pelangi yang mencuri masuk dalam pandangan. Saat itu datang matahari seperti segan memancarkan cahaya di kegelapan. Saat itu jugalah datang si burung berkicauan mematikan lamunan bahawa raksasa itu hanya wujud dalam bayangan.
Apabila hati bersulamkan suramnya awan gelap di awangan, Allah datangkan cahaya rembulan dari kejauhan untuk bantuan berjalan supaya tidak jatuh terhempas dek kegelapan. Datangnya dalam bentuk tulisan. Yang diilhamkan oleh Tuhan kepada mahluknya yang berlainan.
Matahari ;
Sesungguhnya Nabi telah bersabda;
"Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, kemudian yang terbaik sesudah mereka, kemudian yang terbaik sesudah mereka. Seseorang diuji sesuai kadar agamanya. Jika agamanya kuat, ujiannya berat. Jika agamanya lemah, dia diuji sekadar agamanya. Ujian terus mendera hamba sampai membiarkannya berjalan di muka bumi tanpa menyandang sedikit pun dosa."
Pelangi ;

Ketika Allah merindui akan hambanya, Allah akan mengirimkan sebuah hadiah istimewa melalui malaikat Jibril yang isinya adalah ujian. Dalam hadis Qudsi Allah berfirman;
"Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya."
(Hadis Riwayat Thabrani dari Abu Umamah)
Rembulan ;
Allah mengujimu kerana Allah menyayangimu, maka senyumlah!
"Apabila Allah mencintai seorang hamba, maka Dia akan mengujinya. Jika hamba itu bersabar dan redha maka Dia akan memilihnya menjadi kekasihNya"
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Mana mungkin senyuman tidak datang bertandang. Mana mungkin hati tidak tenang. Mana mungkin akal fikiran tidak lapang. Mana mungkin dunia tidak menjadi sang terbang bebas lagak helang. Mana mungkin.
"Kami tak tahu ini rahmat atau musibah. Tapi kami berprasangka baik pada Allah."
-Salim A Fillah

RAHSIA ORANG BIJAK


Semua orang didunia ini suka apabila merasakan diri mereka bijak. Ya, sememangnya manusia adalah makhluk yang bijak kerana mempunyai akal yang mampu untuk membuat pertimbangan. Akal yang bijak sudah semestinya lahir daripada otak yang cerdas. Jadi bagaimanakah cara anda menjaga otak untuk membantu menjadi orang yang lebih bijak?
Mengambil sarapan pagi- Ramai pakar kesihatan menyatakan bahawa sarapan adalah penentu kepada kualiti persembahan anda untuk sepanjang hari tersebut. Ini menunjukkan bahawa pentingnya mengambil sarapan didalam kehidupan seseorang. Seseorang yang tidak mengambil sarapan akan menyebabkan paras gula dalam darah menjadi rendah dan mengurangkan bekalan nutrisi pada otak. Faktor ini akan menyebabkan banyak sel-sel otak akan mati dan akan menjadi kurang aktif.
Elak makan secara berlebihan- Orang yang bijak biasanya amat menitikberatkan terhadap pemakanan mereka. Ini kerana jika seseorang makan secara berlebihan akan menyebabkan banyak darah akan dialirkan pada bahagian usus dan perut untuk tujuan pencernaan. Ini menyebabkan kekurangan darah yang akan sampai ke otak dan akan mengakibatkan seseorang itu malas, mengantuk dan hilang daya fokus.

Elak merokok- Asap rokok sangat merbahaya kerana mempunyai terlalu banyak bahan kimia yang sebenarnya akan merosakkan sel-sel otak anda.
Elak daripada mengambil gula secara berlebihan- Pengambilan gula yang berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrisi. Ia juga akan mengganggu perkembangan otak anda yang akan menyebabkan anda menjadi seorang yang kurang bijak.
Hidu udara yang bersih-  Otak merupakan pengguna oksigen terbesar dalam sistem badan manusia. Menghidu udara yang segar akan membantu untuk mencerdaskan lagi otak serta membaiki sel-sel otak yang rosak.
Tidur secara berlebihan- Tidak dinafikan tidur adalah cara terbaik untuk merehatkan otak seseorang. Tetapi sekiranya ia dilakukan secara berlebihan, ia akan menyebabkan otak menjadi kurang aktif dan secara tidak langsung akan melemahkan daya berfikir seseorang.
Tidur dengan menutup muka- Tidur dalam keadaan meniarap atau mencekup muka dengan bantal, buku, lengan atau sebagainya akan menyebabkan gas karbon oksida terperangkan dan akan dihidu semula. Ini akan menyebabkan otak kekurangan oksigen serta merosakkan sel-sel otak seseorang.

Kurang berimaginasi/berfikir- Sesuatu barangan yang jarang digunakan sudah pasti akan mempengaruhi tahap persembahan sebenar yang mampu dilakukan. Begitu juga dengan otak, sekiranya ia jarang untuk diasah ataupun dilatih, ia akan menyebabkan pemikiran seseorang itu menjadi tumpul dan mereka akan menjadi kurang bijak.

SECEBIS KISAH ORANG BERILMU


Sungguh saya terkesima dengan kesederhanaannya. Pengajarannya sungguh bersahaja tetapi berwibawa. Dalam kuliah selepas Subuh itu, dia merujuk kepada kitab kuning – Muniyatul Musolli, karangkan Syeikh Daud Al Fatani. Dia bukan ustaz yang popular, pun bukan ilmuwan selebriti yang sering muncul di kaca TV. Dia hanya imam biasa, bergamis dan berserban seadanya. Namun dia punya suara yang merdu dan bacaan qiraat yang sangat mantap. Rela mengajar, walaupun dengan bilangan murid yang paling minima!
Saya masih ingat analoginya, "lampu isyarat sudah hijau, tetapi kereta di hadapan kita masih tidak bergerak-gerak. Kita hendak marah dengan kelembapannya. Tetapi sebaik sahaja kita melihat pada kereta itu tertera tanda L, kita jadi sejuk dan memaafkan. Oh, dia masih belajar memandu..."
Dia menyambung, "maka begitulah kita harapkan semasa belajar ini. Kita harapkan Allah ampunkan kita jika kita berterusan belajar. Ibadah kita banyak lagi kecacatan dan kekurangannya, tetapi apabila kita berterusan belajar, semoga Allah memaafkan kita. Contohnya, solat yang kita dirikan selama ini, siapa yang berani menjamin semuanya sudah sempurna? Semuanya sudah tepat seperti solat nabi? Tidak ada siapa yang berani. Lalu apa jalan keluarnya? Ya, dengan berterusan belajar. Insya-Allah, Tuhan akan ampunkan kita sekiranya kita masih belajar solat."
Benarlah, seorang dikira sampai ke tahap ilmu yang sempurna apabila dia terus belajar. Rasa tidak berilmu ialah sifat utama orang berilmu. Semakin kita belajar, terasa semakin banyak perkara yang tidak kita ketahui. Inilah sifat sejati orang berilmu. Lihatlah imam-imam besar bertahap mujtahid yang berterusan belajar tepat seperti yang sering diungkapkan, tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad.

Walau sebanyak mana pun ilmu yang telah digali oleh manusia, hakikatnya masih sekelumit dibandingkan dengan ilmu Allah yang melangit. Justeru, sebanyak mana pun dan setinggi mana pun ilmu yang dimiliki seseorang, dia sewajarnya terus merendahkan diri kepada Allah. Di antara tanda orang yang merendah diri dengan Allah itu, dia juga akan merendah diri sesama manusia. Justeru, jika terdapat ahli ilmu yang sombong, dia hakikatnya bukan ilmuwan tetapi hanya seorang hina dari kelas bawahan!
Bergaullah dengan ahli ilmu yang sebenar, kita akan terasa tenang dengan kerendahan hatinya. Tutur kata dan tingkah lakunya sangat menyenangkan. Semakin tinggi penghormatan yang diberikan oleh manusia kepadanya, semakin tinggi pula penghormatannya kepada manusia lain. Ketangkasannya dalam berfikir disepadukan dengan kelembutan hatinya dalam berzikir.
Kini semakin ramai orang yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi dan kepetahan berkata-kata yang sangat memukau. Namun, kita masih kekurangan orang yang mempunyai ketinggian budi dan kehalusan pekerti. Oleh kerana itu para ilmuwan kini kebanyakannya hanya mampu mengumpulkan peminat, bukan pengikut. Kata-katanya hanya menjadi hiburan penyedap pendengaran, kurang diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan yang membawa penyelesaian.
Betapa Tok guru dahulu, hidupnya sederhana tetapi terlalu kaya dengan karisma dan wibawa. Orang sanggup mati kerananya. Kata-katanya diikuti dari hati, bukan sekadar ambil hati. Apa rahsianya? People dont care how much you know, untill they know how much you care – manusia tidak peduli sejauh mana pengetahuan anda, sehingga mereka tahu sejauh mana anda ambil peduli!
Ya, ulama-ulama dahulu bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi yang paling utama mereka mewarisi 'hati' para nabi. Sifat-sifat mahmudahnya begitu ketara. Jika mereka berbicara, pasti disebut kelebihan-kelebihan guru-guru mereka sebelumnya. Jatuh pena di tangan, tidak akan diletakannya di atas kitab atau Al Quran. Jangan ada sesuatu yang diletakkan lebih tinggi daripada Al Quran dan Al Hadis... Bukan sahaja di dalam hati, bahkan daripada segi kedudukan fizikalnya.
Sering kali mereka menjawab 'wallahuaklam' pada soalan-soalan yang diajukan. Mereka tidak berlagak seperti manusia serba tahu.
Mereka boleh bertukar posisi, bertindak sebagai murid yang banyak mendengar apabila dirasakan orang yang dihadapinya lebih mengetahui. Bukan mudah menjadi 'pendengar' ketika selalu berperanan sebagai 'penutur' tetapi kerana sifat tawaduk mereka, para ulama silam sanggup kelihatan bodoh daripada terus berlagak pandai dan memandai-mandai.
Sesungguhnya, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Biarpun mungkin tidak punya peminat, tetapi pengikut yang setia tetap ada. Jiwa sufi yang tersemat di dalam diri menyebabkan mereka kaya di dalam kesederhanaannya. Mereka itulah murabbi sejati, sekalipun bukan seorang selebriti.
Guru yang mengajar kitab kuning, yang saya ceritakan pada awal tulisan ini hanya menaiki motosikal... tetapi sungguh, saya jarang memandang wajahnya melainkan di situ ada senyuman!

STRATEGI MEMILIH PROGRAM DI UNIVERSITI


Keputusan SPM dan STPM telah di umumkan.  Ramai yang keliru dalam memastikan program dan universiti mana yang terbaik untuk diri mereka.  Di peringkat ini, anda sebenarnya mencari-cari identiti diri sebagai proses membuat keputusan yang tepat dalam menentukan hala tuju kehidupan anda selepas ini.
Saya sendiri pernah melalui detik-detik ini dan sekarang saya bertugas sebagai Penolong Pendaftar Akademik di UiTM Cawangan Kelantan.  Berdasarkan pengalaman dan bidang kerjaya, saya ingin kongsikan kaedah yang boleh digunakan dalam dalam memilih program Universiti yang sesuai dengan diri anda.  Mungkin ia juga boleh dijadikan sebagai panduan untuk membantu orang lain yang memerlukan pandangan dan pendapat.
Kaedah pemilihan ini diberi nama A.I.M. iaitu singkatan kepada A= Ability, I=Interest dan M=Market.
1. Keupayaan. ( Ability )
Ada yang memilihan hanya berdasarkan keupayaan.  Mengikut konsep A.I.M. yang selalu saya ceritakan kepada calon-calon lepasan SPM A adalah merujuk kepada Ability iaitu keupayaan.  Keupayaan terbahagi kepada dua Fizikal dan Akademik.
Fizikal - adalah keupayaan fizikal dengan merujuk kepada keboleh upayaan melakukan kerja dalam bidang berkaitan program yang dipilih.  Contohnya, pelajar yang takut dengan darah, tidak perlulah memilih program yang berkaitan dengan perubatan.  Kerana ia akan menyebabkan kebolehan anda terbatas.
Akademik - adalah kemampuan anda berdasarkan keptusan yang telah diperolehi.  Dengan lebih tepat, boleh dikatakan sebagai kelayakan akademik untuk sesuatu program.  Kalau syarat kelayakan terlalu minimum untuk program tersebut tak perlu lah pilih kerana anda perlu bersaing dengan pelajar yang lebih cemerlang keputusannya.  Nak tahu syarat anda lepas atau tidak semak disini: http://www.selangkah.uitm.edu.my.
2. Minat.  ( Interest )
Minat memainkan peranan yang sangat penting didalam kehidupan kita. Anda perlu membezakan diantara suka dan minat.  Kadang-kala kita sekadar suka tetapi tidak minat menyebabkan kerja yang dilakukan hanya separuh jalan bila berhadapan dengan masalah.  Tetapi sekiranya kita minat, walaupun pelbagai dugaan dan rintangan muncul kita tetap meneruskan perjuangan.

Minat boleh mengubah seseorang dan minat juga boleh berubah-ubah.  Yang penting sejauhmana kita mengawal ia situasi.  Selalunya minat kita boleh dikaitkan dengan apa jua bidang yang diceburi.
3. Pasaran ( Market )
Di dalam kekeliruan membuat pemilihan, anda seharusnya memandang jauh ke depan dengan menganalisa pasaran dan peluang pekerjaan melalui bidang yang anda ingin ceburi.  Ingat, menganalisa bukanlah sekadar menilik dan mencogak.  Ia memerlukan kajian yang menyeluruh.  Rujuk kepada yang lebih arif dan lebih berpengalaman.  Jangan sekadar melihat peluang semasa tetapi apa yang akan berlaku lagi 3 tahun akan datang.
Pasaran kerja juga bergantung kepada individu tersebut.  Bukan hanya bersandarkan kepada sejauhmana popularnya program tersebut. Cuba bayangkan seorang pelajar kejuruteraan yang bergraduat dengan CGPA 2.00 (Cukup-cukup makan) dan Pelajar dari aliran sastera graduat dengan CGPA 3.50 (Cemerlang).  Anda fikir-fikirkan sendiri.
Kenapa ramai yang tersalah pilih?  Setelah merujuk kepada ketiga-tiga faktor pemilihan diatas, ramai diantara calon-calon lepasan SPM ini hanya melihat kepada satu aspek sahaja.  Ada yang sekadar meilihat keupayaan akademik sahaja.  Dengan beranggapan, "aku dah score A mesti aku boleh buat" dan mengenepikan faktor minat yang menyebabkan seseorang itu berbeza dengan orang lain.
Ada juga membuat keputusan cukup sekadar minat.  Apa yang mereka minat, itulah yang mereka pilih.  Akhirnya, satu program pun tak layak sebab persaingan akademik terlalu sengit.  Mereka terpaksa bersaing dengan yang lebih cemerlang.
Situasi sekarang, ramai yang merujuk kepada faktor peluang kerja sahaja.  Sedangkan tiada langsung perasaan minat menyebabkan bila mula bekerja mereka tidak dapat fokus dengan apa yang mereka buat.  Faktor ini banyak berlaku dikalangan ibu bapa sekarang yang inginkan anak mereka menjadi begini atau menjadi begitu.  Akhirnya, apa yang mereka belajar tidak selari dengan apa yang mereka kerja.

Bagaimana hendak memilih? Kesemua faktor-faktor diatas perlu diselaraskan.  Bermakna, keputusan dibuat dengan mengambil kira semua elemen secara sama rata.
Saya pernah menyampaikan taklimat pemilihan program ke ipt kepada sebuah sekolah di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu Kelantan.  Saya ada mencadangkan beberapa tips untuk memastikan ketiga-tiga faktor diatas boleh diselaraskan.
Semuanya tips tersebut ada 7:
•Kenali Diri Sendiri
•Minat dan Kebolehan
•Buat Keputusan Berdasarkantingkat Gajidan Peluang Pendadapatan
•Yakin / Percayakan diri sendiri
•Berbincang dengan Ibubapa dan Kaunselor
•Ambil masa untuk berfikir-jangan ambil mudah
•Ambil langkah kearah pilihan kursus
Semoga artikel ini dapat membantu anda.  Tetapi ingat, apa yang saya ceritakan diatas hanyalah 30%  daripada proses pemilihan. Selebihnya, sebagai umat islam kita harus memohon petunjuk dan merujuk kepada Allah s.w.t. supaya pilihan yang dibuat diberkati.  Banyakkan buat solat istikharah, kerana itulah yang utama dalam kehidupan kita semua.