Tuesday, 18 December 2012

MOTIVASI UNTUK BERJAYA


Ramai manusia yang ketika hidupnya, dia terlupa untuk merasa diri sebagai hamba. Sehinggalah akhirnya kematian datang menjemputnya, ketika itu penyesalan dengan darah mata sekalipun tidak lagi bermakna.
Mereka ini adalah manusia yang mata hatinya telah dihijab oleh Allah untuk nampak kejelasan tanda-tanda-Nya yang cerah. Kerana mereka sendiri sebelumnya telah menjauhkan diri dari landasan kebenaran. Firman Allah,
"Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya) maka dia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya,"surah Al-Isra' ayat 27.
REDHA TUHAN = BERJAYA
Kita selalu bertanya kepada diri dan orang lain. Kita tanya:
Minta berikan sedikit motivasi, jalan manakah yang paling dekat dengan kejayaan?
Maka saya ingin menyebut jawapan sebegini:
Kita hidup adalah untuk mencari redha Allah SWT. Maka, kejayaan kita yang sebenar adalah apabila segala sesuatu yang kita lakukan adalah untuk mendapat redha Allah SWT.
Pada saya, di sini letaknya motivasi kejayaan kita yang paling besar sebenarnya.
Motivasi yang meletakkan Tuhan sebagai batu asas akan menemui jalan kejayaan yang paling hebat, paling bermakna.
Selaklah sirah baginda nabi, lihatlah kepada para sahabat baginda, telitilah kisah hidup ulama-ulama kita yang terdahulu, yang mereka ini luar biasa bagus dan hebat sekali, kita akan dapati motivasi kejayan mereka adalah redha Sang Pencipta.

PESANAN DR. A'LI JUM'AH
Kerana itu, saya suka untuk sampaikan kepada semua satu petua yang disebut oleh Mufti Mesir, Dr. Ali Jum'ah ketika kuliah beliau di Masjid Al-Azhar sebelum ini.
Kata beliau, setiap pagi ucapkanlah Allahu Maksudi, Wa Redha hu Matlubi (Allah tujuanku, dan redha-Nya lah yang kuharapkan).
Baca ini 7 kali setiap pagi, dan kita insyaAllah akan bergerak untuk menjadi manusia yang lebih baik hari itu.
Kata beliau lagi, pengulangan sebanyak tujuh kali ini sebagai kita memperkuatkan keinginan kita.
Penegasan bahawa kita sememangnya hidup atas tujuan menjadi hamba Allah dan dalam hidup kita, yang kita cari hanyalah redha-Nya.
Maka, pasakkan di dalam jiwa, kita adalah hamba-Nya.
"Serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar." Surah At-Taubah ayat 72..

MOTIVASI DARI LINCOLN


Kemarahan adalah sebahagian daripada kehidupan manusia. Tiada manusia yang tidak pernah marah. Kemarahan terbit dari kegagalan hidup, ketidakpuasan hati, dendam and perkara-perkara lain. Hal-hal kecil juga boleh mencetuskan kemarahan ibarat api kecil yang dicurahkan minyak tanah.
Merasa marah itu perkara biasa, soalnya bagaimana menyalurkan kemarahan pada tempat yang betul. Jika kemarahan itu dilemparkan dengan herdikan, maki hamun dan cercaan, maka ia adalah bersifat negatif dan menjatuhkan kredibiliti kita sebagai manusia. Marah yang bersifat positif lebih kepada mencari jalan agar marah itu di'channel'kan kepada benda-benda lain.
Contoh bagaimana mengawal kemarahan adalah seperti yang ditunjukkan oleh bekas Presiden Amerika Abraham Lincoln ketika peperangan Gettysburg pada 1863. Pada malam 04 July, Lee mengambil langkah mengundurkan tenteranya dari medan peperangan dalam keadaan ribut dan hujan lebat. Tatkala Lee sampai di Potomac dengan tenteranya yang kalah, dia bertemu sungai yang mustahil untuk mereka menyeberang memandang air sungai telah naik. Pada masa yang sama tentera Lincoln yang diketuai Jeneral Madea juga sedang mengejar mereka. Lee dan tenteranya terperangkap dan tidak dapat melepaskan diri. Lincoln melihat peluang ini dan mengarahkan agar Madea menyerang Lee dan tenteranya. Namun apa yang berlaku sebaliknya. Jeneral Madea tidak mengikut arahan Lincoln sebaliknya dia bermesyuarat. Dia memberi bermacam-macam alasan untuk tidak menyerang Lee. Air sungai menjadi surut dan Lee serta tenteranya berjaya melepaskan diri.

Lincoln tertekan dengan keadaan itu. Dalam situasi begitu adalah terlalu mudah untuk Jeneral Madea menewaskan tentera Lee. Ia peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan.
Dalam keadaan kecewa, Lincoln menulis surut seperti dibawah untuk dihantar kepada Jeneral Madea:
My Dear General,
I do not believe you appreciate the magnitude of the misfortune involved in Lee's escape. He was within our grasp and to have upon closed him would, in connection to our late success, have ended the war. As it is, the war will prolonged indefinitely. If you could not safely attack lee last monday, how could you do so south of the river, when you can take with you very few – no more two-thirds of the force then in your hand? I would be unreasonable to expect and I do not expect that you can now effect much. Your golden opportunity is gone, and I am distressed immeasurably because of it.
Dari surat tersebut jelas menunjukkan yang Lincoln kecewa dengan keputusan yang dibuat Jeneralnya.
Apa yang Meade lakukan setelah membaca surat tersebut?
Hakikatnya, Meade tidak pernah membaca surat tersebut. Lincoln tidak pernah menghantar surat itu. Ia hanya dijumpai dalam timbunan kertas selepas kematiannya.
Apa yang sebenarnaya terjadi?
Mungkin ini ANDAIAN yang boleh dibuat.
Selepas melepaskan kemarahan dengan menulis surat tersebut, Lincoln berfikir semula, adakah perlu dia bertindak sedemikian. Ia adalah sesuatu yang mudah untuknya duduk di White Housedan memberi arahan untuk menyerang tanpa perlu ke medan perang. Jika dia berada di Gettysburg dan melihat pertumpahan darah seperti yang dilihat Jeneral Meade dalam peperangan terdahulu dan mendengar raungan dan tangisan tentera yang cedera dan sakit, mungkin dia juga tidak akan terlalu ghairah untuk menyerang Lee. Jika dia berada di kedudukan Meade dalam situasi itu, mungkin dia juga akan membuat keputusan yang sama. Lagipun, perkara itu telah berlaku. Jika dia menghantar surat ini kepada Meade, ia akan melegakan perasaan marahnya. Tapi ia mungkin menyebabkan Meade terpaksa berfikir semula akan tindakannya. Ini akan menyebabkan dia berasa bersalah dan mungkin mengganggu emosinya untuk mengetuai peperangan yang lain. Dan yang lebih teruk, dia mungkin meletakkan jawatan atas kesilapannya itu.
Atas alasan itulah, MUNGKIN Lincoln mengambil tindakan untuk tidak menghantar surat yang telah ditulisnya kepada Meade sebaliknya hanya disimpan. Akhirnya, surat itu ditemui selapas kematian Lincoln.
Apakah moral of the story?

Ada moral yang boleh diambil dari cerita diatas. Kedua-duanya berkaitan dengan meng'channel'kan dan mengurangkan perasaan marah:
1. Bila anda marah, tulis apa yang anda rasa diatas kertas- Kemarahan adalah satu perasaan yang perlu diluahkan. Jika dibiarkan, ia akan meletup. Sebab itu kita tengok bila orang marah, dia akan cakap macam-macam, menjerit, menyuarakan ketidakpuasan hati yang mungkin dah lama terpendam. Bila anda menulis, curahkan segala perasaan marah anda diatas kertas, jangan tertinggal satu pun. Lepas itu akan rasa lega dan kemarahan anda akan reda. Seperti yang dilakukan Lincoln, dia menulis rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan Meade. Apa jadi lepas tu? pada andaian saya. Dia berasa lega dan kemarahannya reda. Bila kemarahan reda, barulah manusia boleh berfikir secara logik.
2. Punyai sifat empati- Empati berbeza dari simpati. Empati membawa maksud meletakkan diri anda pada kedudukan orang lain dan melihat sesuatu dari pada kacamata orang lain. Orang yang empathy mempunyai sifat selfishnes, mungkin sukar untuk mempunyai sifat empati. Seperti dalam cerita itu, Lincoln meletakkan dirinya di tempat Jeneral Meade. Dia membayangkan melihat pertumpahan darah, teriakan tenteranya yang cedera dan sakit. Membayangkan suasana ini, dia mengambil keputusan untuk tidak mempersoalkan tindakan Jeneral Meada melalui surat yang telah ditulis. Jangan salah faham. Mempunyai sifat empati bukanlah bermakna menjadikan diri anda sensara dengan memahami penderitaan orang lain, tetapi lebih kepada memahami situasi orang itu dan bertindak berdasarkan pemahaman itu.

UBAT MUJARAB MENANGANI STRESS


Hidup ini sama seperti melalui jalanan menuju ke destinasi yang ditetapkan. Sesekali kita tersesat dalam mencari destinasi sebenar. Kadang jalan yang dilalui penuh liku dan simpangnya. Sesekali kita akan bertemu dengan lubang yang besar. Paling tidak jambatan yang kita mahu kita seberangi roboh sedangkan destinasinya sudah semakin hampir.  Tekanan yang dihadapi menjadikan kita runsing.
Islam yang indah dengan isinya memberikan ubat yang mujarab bagi menghadapi tekanan yang datang dalam kehidupan.  Lantas ubat ini menjadikan kita lebih tenang menghadapi  segala ujian dalam hidup.  Hati akan lebih tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa juga yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata bagi mendapatkan keredaan Allah.

Tip menghadapi Stres
Terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan bertujuan bagi mengurangkan tekanan: 
01.
Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan sebarang pekerjaan. Tugas yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan.
02.
Al-Quran jadikan amalan
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.
03.
Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
04.
Selalu berdoa kepada Allah
 Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.
05.
Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.
06.
Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.
07.
Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.
08.
Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.
09.
Cintai diri sendiri
"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain". Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.

UJIAN BUKAN SEKADAR MENGUJI


Selalu orang cakap hidup bagaikan roda. Tak selalunya kita di atas. Mungkin esok lusa kita di bawah. Tapi adakah itu alasan untuk kita terus mengalah?
Cuba fikirkan kembali ketika kita masih muda, mungkin semasa kita kanak-kanak? Bukankah hidup ini mudah dan seronok bagi kita? Semuanya adalah mungkin, boleh saja dilakukan jika ada kemahuan.
Tapi dalam kita membesar, perkara-perkara yang dahulunya mudah belaka telah menjadi susah lagi menyusahkan. Kenapa ya?
Mungkinkah kita telah dewasa dan mengetahui bahawa betapa susahnya untuk merealisasikan sesebuah perkara?
Ujian untuk Menguji.
Ujian dan dugaan yang menimpa, bukanlah sesuatu yang dapat kita ketahui sebelumnya ianya berlaku.
Allah taala menguji hambaNya dengan ujian yang hambaNya boleh terima. Maka sabar dan senyumlah. Lain orang lain ujiannya.
Allah taala takkan menguji hambaNya jika hambaNya itu tidak mampu. Maka jika kita terpilih untuk melalui ujian itu tempuhlah dengan penuh redha dan tawaduk.

"Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya." (Hadis riwayat Muslim)
Setiap perkara yang berlaku, baik buruk mahupun baik, ada hikmahnya. Andai kita gagal dalam ujian ini, mungkin ada hikmahnya. Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita, lebih baik daripada perancangan manusia untuk diri sendiri.
Namun, kita hidup dengan manusia. Terarah dengan jangkaan, harapan dan sangkaan manusia. Sedar atau tidak, kita terpaksa memenuhi semua tuntutan itu. Sehingga kita mungkin lupa yang kehendak Allah jauh melangkau segalanya.
Sesungguhnya, jalan menuju syurga itu adalah dengan kesabaran. Sebab itu, Nabi telah bersabda : "Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, kemudian yang terbaik sesudah mereka, kemudian yang terbaik sesudah mereka. Seseorang diuji sesuai kadar agamanya. Jika agamanya kuat, ujiannya berat. Jika agamanya lemah, dia diuji sekadar agamanya. Ujian terus mendera hamba sampai membiarkannya berjalan di muka bumi tanpa menyandang sedikit pun dosa."
Ya Allah, bila membacanya entah mengapa hati rasa berbunga-bunga. Para sahabat sahabiah dulu, mereka sangat risau bila diri diuji. Mungkin ada yang mahu diuji dan ada yang takut bila diuji.
Namun dengan segenggam kepercayaan bahawa Allah tidak akan menguji hamba-Nya sesuatu yang hamba-Nya tidak mampu pikul. Dan ya, kehidupan sememangnya mengajar erti redha, sabar, tawakal, berharap pergantungan sepenuhnya kepada Allah dan bermacam-macam lagi.
Banyak saja cara Allah nak didik kita. Nak tarbiyyah kita. Semoga Allah akan terus mendidik kita ketika iman masih menebal. Mudahan perasaan cinta kita kepada sang Khaliq akan semakin bertambah.

BOHONG KEPADA DIRI


Acap kali saya berbohong kepada diri sendiri. Beberapa tahun yang lampau saya cuba menenangkan diri, "tidak mengapa saya tidak pandai membaca al-Quran. Saya bukan orang jahat, saya suka membantu orang lain. Allah akan pandang kepada kebaikan yang lain".
Saya memujuk diri supaya bertenang. Dan saya mahu diri saya menerima pujukan tersebut. Dan saya fikir hati dan jiwa saya tenang. Saya berpura-pura tenang.
Orang sering berkata tetapi saya nyatakan dalam bahasa sendiri, "ulangan yang sentiasa menjadi biasa," sangat relevan. Ulangan berbohong pada diri sendiri menyebabkan hati menjadi keras membatu.
Hilang rasional antara realiti dengan apa yang diimpikan.
"Prof, saya mahu meninggalkan dosa-dosa besar yang telah saya lakukan. Namun hati saya tenang dan tidak bermasalah setiap kali saya melakukan dosa tersebut. Saya tidak rasa bersalah".
Itulah pembohongan pada diri yang tidak kita sedari. Jika hati tenang maka tidak mungkin kenyataan itu dikeluarkan. Hakikatnya, kita memujuk diri agar menerima justifikasi kenapa kita tidak mahu atau perlu berubah.
Kisah-kisah seumpama ini diulang-ulang di dalam al-Quran. Apabila sampai seruan, ramai yang berdolak-dalih dengan pelbagai alasan.
Ada yang menuntut, "kenapa tidak diturunkan para nabi daripada Malaikat?". Malah ada yang berkata, "tunjukkanlah kelebihan yang ada pada mu supaya kami mempercayai apa yang kamu sampaikan".

Mencipta pembohongan diri menjadi lebih canggih pada zaman manusia ke universiti. Benar, ia perlu canggih kerana mereka yang mahu berbohong terdiri daripada orang-orang Islam sendiri. Dan mereka cerdik-cerdik belaka!
Jika ada yang berkata, "marilah kita solat berjemaah di masjid, Baginda SAW tidak pernah meninggalkannya....." maka kita perlu mencari jalan untuk mengatakan tidak. Ia pasti bohong kerana janji Allah begini,
Wahai anak Adam!
Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu.  Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! (Hadis Qudsi, riwayat Ahmad).
Malah jika ada yang mengajak. "bangunlah solat malam, ia menguatkan rohani kita...." maka lihatlah ciptaan alasan yang menarik. Ia bukan untuk orang lain tetapi untuk memberikan rasa lega kepada diri sendiri.
Hakikatnya, kelegaan yang dicari tidak ditemui. Dan kita terus berbohong pada diri sendiri.