Acap kali saya berbohong kepada diri sendiri. Beberapa tahun yang lampau saya cuba menenangkan diri, "tidak mengapa saya tidak pandai membaca al-Quran. Saya bukan orang jahat, saya suka membantu orang lain. Allah akan pandang kepada kebaikan yang lain".
Saya memujuk diri supaya bertenang. Dan saya mahu diri saya menerima pujukan tersebut. Dan saya fikir hati dan jiwa saya tenang. Saya berpura-pura tenang.
Orang sering berkata tetapi saya nyatakan dalam bahasa sendiri, "ulangan yang sentiasa menjadi biasa," sangat relevan. Ulangan berbohong pada diri sendiri menyebabkan hati menjadi keras membatu.
Hilang rasional antara realiti dengan apa yang diimpikan.
"Prof, saya mahu meninggalkan dosa-dosa besar yang telah saya lakukan. Namun hati saya tenang dan tidak bermasalah setiap kali saya melakukan dosa tersebut. Saya tidak rasa bersalah".
Itulah pembohongan pada diri yang tidak kita sedari. Jika hati tenang maka tidak mungkin kenyataan itu dikeluarkan. Hakikatnya, kita memujuk diri agar menerima justifikasi kenapa kita tidak mahu atau perlu berubah.
Kisah-kisah seumpama ini diulang-ulang di dalam al-Quran. Apabila sampai seruan, ramai yang berdolak-dalih dengan pelbagai alasan.
Ada yang menuntut, "kenapa tidak diturunkan para nabi daripada Malaikat?". Malah ada yang berkata, "tunjukkanlah kelebihan yang ada pada mu supaya kami mempercayai apa yang kamu sampaikan".
Mencipta pembohongan diri menjadi lebih canggih pada zaman manusia ke universiti. Benar, ia perlu canggih kerana mereka yang mahu berbohong terdiri daripada orang-orang Islam sendiri. Dan mereka cerdik-cerdik belaka!
Jika ada yang berkata, "marilah kita solat berjemaah di masjid, Baginda SAW tidak pernah meninggalkannya....." maka kita perlu mencari jalan untuk mengatakan tidak. Ia pasti bohong kerana janji Allah begini,
Wahai anak Adam!
Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! (Hadis Qudsi, riwayat Ahmad).
Malah jika ada yang mengajak. "bangunlah solat malam, ia menguatkan rohani kita...." maka lihatlah ciptaan alasan yang menarik. Ia bukan untuk orang lain tetapi untuk memberikan rasa lega kepada diri sendiri.
Hakikatnya, kelegaan yang dicari tidak ditemui. Dan kita terus berbohong pada diri sendiri.
No comments:
Post a Comment