Tuesday, 18 December 2012

UNTUK BERJAYA, BELAJAR DARI BAWAH !


"Saya daripada sekolah dulu belum pernah memegang apa-apa jawatan. Tapi saya memang yakin saya boleh buat kerja dengan baik," kata seorang pelajar yang sedang ditemuduga oleh saya untuk satu jawatan persatuan Engineus(Engineering Society).
"Adakah kerana populariti atau ingin menjadi terkenal bila dapat menjadi mainboardpada first year lagi?" Saya sengaja memberi soalan sebegitu.
"Bukan. Saya betul-betul mahu belajar cara-cara hendak menguruskan sesuatu program dan cara-cara hendak menguruskan sesuatu mesyuarat umpamanya. Dan saya rasakan jawatan ini memang dapat memberikan saya pengalaman seperti itu," jawabnya penuh yakin.
Dari segi gaya bercakapnya, memang menunjukkan yang dia betul-betul berminat memegang jawatan dalam mainboard. Mencari pengalaman baru katanya. Tetapi kemudian saya berikan dia jawatan sebagai ahli jawatankuasa biasa di dalam sebuah biro.
Bukan saya menidakkan keupayaannya untuk memegang jawatan tinggi tetapi biarlah dia merasa dulu bekerja daripada bawah. Saya sendiri hanyalah seorang AJK biasa-biasa sahaja sebelum diserap masuk terus ke dalam mainboard. Dan saya rasakan pengalaman menjadi AJK biasa itulah yang paling berguna yang membolehkan saya belajar lebih banyak perkara.
Hendak memimpin atau hendak buka bisnes sendiri perlu kita belajar selok-beloknya terlebih dahulu. Perlu ada mentor atau orang yang kita jadikan idola yang baik untuk kita ikuti dan contohi.
Apa yang perlu dibuat sebagai orang bawah
Memimpin tidak semestinya perlu berada di kedudukan paling atas. Jika kita seorang ahli biasa pun kita masih boleh memimpin. Apabila kita berada di kedudukan bawah, kita belajar dengan cara memperhatikan cara pimpinan ketika itu memimpin. Apa yang baik kita ambil dan apa yang silap kita cuba cari penyelesaian lain.
Konsepnya sama dengan hubungan antara imam dan makmum. Jika imam melakukan kesilapan, makmum berhak membetulkan.
Waktu menjadi orang bawah itu juga perlu kita cuba merapatkan diri dengan AJK lain. Wujudkan hubungan dan suasana yang baik. Salah satu elemen yang penting di dalam pembentukan sebuah institusi ialah hubungan yang wujud di antara mereka. Andai baik hubungan yang terjalin tersebut maka kukuh dan kuatlah institusi tersebut.
Kalaulah jawatan atau pekerjaan yang kita dapat itu bukan yang kita harapkan, tidak perlulah rasa rendah diri. Belajar memimpin daripada bawah itu lebih seronok daripada terus berjawatan tinggi.
Dan sewaktu menjadi orang bawah inilah kita perlu cari model atau mentor yang boleh mengajar kita menjadi pemimpin yang betul.
Contoh daripada Nabi Muhammad
Nabi Muhammad sendiri belajar memimpin daripada peringkat paling bawah sekali. Daripada belajar mengusahakan ternakan kambing sewaktu beliau berusaha 8 tahun. Tentu bukan mudah untuk menjaga kambing yang perangainya macam-macam.
Kemudian menjadi assistant manager unit jualan pula pada usia 12 tahun semasa mengikuti ayah saudaranya berniaga. Lantas barulah beliau menjadi seorang manager semasa bisnesnya sudah berada di tahap internasional pada usia 20-an.
Sedari kecil sudah belajar bertanggungjawab dan kemudian berjaya menguruskan bisnes sendiri dengan baik.
Berniaga juga perlu belajar dahulu
"Aku macam dah kurang keyakinan hendak buat bisnes la bila dah bekerja ni," kata seorang kawan pada suatu petang.
Dia menyambung, "Kalau dulu minat nak buka bisnes meluap-luap. Sampaikan hampir semua jenis bisnes aku cuba. Tapi bila dah start kerja bawah orang macam ini, rasa nak berhenti kerja itu hilang. Rasa nak buka bisnes dah macam tak ada pula."
Saya teringat satu perkara yang ditekankan oleh Robert T. Kiyosaki dalam buku Rich Dad Poor Dad, "Work to learn, don't work for money."
Dia juga menyarankan supaya kita belajar dahulu selok-belok berniaga daripada bawah. Tetapi kita perlu tetapkan dahulu dalam minda kita yang kita bekerja bawah orang lain itu adalah untuk mengambil pengalaman, cara gerak kerja, dan cara menguruskan kerja syarikat tersebut.
Semakin banyak pengalaman yang ditimba dan semakin banyak model bisnes terbaik yang kita ketahui, maka semakin baiklah strategi kita untuk memulakan bisnes sendiri.
Saya juga masih bertatih belajar. Bertemu dengan orang yang tidak dikenali untuk berbincang, kadang saya menawarkan diri untuk menemani kawan yang akan bertemu dengan orang penting dan kadang saya ikut kawan saya berniaga di booth.

No comments:

Post a Comment