Tuesday, 18 December 2012

KENALI POTENSI DIRI


"Sekiranya inginkan perubahan dalam kehidupan, kenali potensi diri. Jangan biarkan ia terpendam dan berlalu tanpa digilap."
Kata-kata di atas sering dikongsi oleh para motivator bersama para peserta. Biasanya para motivator atau penceramah selalu menjadikan potensi diri sebagai modal untuk membangkitkan motivasi para pendengarnya.
Namun, mengapa mesti berkaitan dengan potensi diri?
Dan kenapa perlu untuk mengenali potensi diri?
Apa kaitan potensi diri kita dengan sebuah kehidupan?
Jawapannya mudah, kerana dengan mengenali potensi dirilah kita dapat mengukur tahap kekuatan dan kelemahan diri yang dimiliki tanpa diketahui orang lain. Dan tanpa kita sedar, dengan mengenali potensi diri sendiri juga sebenarnya dapat membantu orang lain untuk mengenali potensi diri mereka. Apabila telah mengenal potensi diri, maka barulah dapat mengatur strategi untuk sebuah perubahan diri.
Setiap Insan Sempurna
Setiap insan dilahirkan dengan potensi diri sendiri. Walaupun kehadiran seseorang ke dunia kurang sempurna seperti insan lain, namun tetap mempunyai kemampuan dan kelebihan yang tersendiri.
Semua insan di'pasang-siap' dengan komponen yang sama. Seakan-akan sama namun tidak serupa dan itulah yang dinamakan akal dan potensi diri. Kemilauan sinarnya tidak terserlah andai tidak dicanai dengan baik.
Sesungguhnya Allah SWT memuji kemampuan ciptaan-Nya yang terulung iaitu Adam AS kerana mampu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Para malaikat AHS turut terpegun sedangkan pada peringkat awal mereka menentang penciptaanya. Segalanya tercatat di dalam Al-Quran, Mukzijat teragung nabi kita Muhammad SAW.
Namun Dialah yang Maha Bijaksana, mengajar dan menyediakan segala keperluan Adam AS dan anak keturunannya. Allah SWT mengetahui makhluk manusia memiliki kemampuan untuk memahami dan melaksana perintah dan larangan-Nya kelak.
Walaupun ciptaan-Nya yang lain lebih hebat tetapi manusia jua menjadi pilihan untuk melaksanakan syariat di alam dunia. Kemampuan ini ternyata tidak dimiliki makhluk lain.
Firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan kenderaan di darat dan di laut; dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan" 
(Surah al-Isra' ayat 70)
Setiap Insan Mempunyai Bakat
Setiap insan mempunyai bakat tersendiri yang boleh dipupuk menjadi kenyataan. Jika bakat yang ada dikilatkan dengan ilmu dan iman, maka sinarnya akan menyerlah bah kilauan kepada pemiliknya. Demikianlah bakat yang diterjemahkan apabila panduannya berada di laluan yang benar. Akan memberi kebaikan dan kemudahan kepada seluruh kehidupan.
Jika ingin menjadi seorang chef terkenal, usaha ke arah itu perlu digarap.
Jika ingin menjadi seorang juruterbang, tindakan yang diambil perlu menuju ke arah cita-cita murni itu.
Jika ingin menjadi seorang penulis, maka ilham dan idea perlu diasah untuk menghasilkan karya yang bermutu. 

Suatu ketika Nabi SAW berjalan bersama para sahabat melalui satu kebun kurma dan didapati seorang sahabat sedang mengkacukkan anak (debunga) kurma. Lantas Rasulullah SAW menghampirinya dan melakukan kacukan cara baginda. Hari berlalu dan apabila tiba masa berbuah, didapati hasilnya berkurangan seperti sebelum ini. Lalu diberitahu kepada Rasulullah SAW dan lantas Baginda bersabda yang mafhumnya bermaksud: "Kamu lebih mahir dalam urusan dunia kamu".
Jelaslah, kisah tersebut menggambarkan kemampuan sahabat dan kepakaran mereka di dalam bidang yang diceburi. Bahkan Rasulullah SAW mengakui bahawa setiap sahabatnya mempunyai kehebatan yang tersendiri. Hal ini juga menunjukkan bahawa Islam itu tidak menyulitkan di dalam soal yang tidak melibatkan aqidah dan syariah. Selagimana kepakaran itu tidak menyalahi hukum, ianya dibolehkan demi untuk kemaslahatan manusia sejagat.

Namun, bakat yang ada sekiranya tidak berada di laluan yang benar tanpa panduan ilmu dan iman yang sahih selalunya akan membawa kepada keburukan. Malah tiada mustahil bakat yang dikurniakan Allah SWT itu boleh sahaja menjerumus manusia kepada kesesatan. Sepertimana seseorang yang dikurniakan bakat bijak dalam mengatur bicara, jika berpidato kata-katanya membuatkan orang yang mendengarnya seakan dipukau. Jadilah minda orang yang mendengar sentiasa membenarkan dan mengiyakannya lantaran hatinya telah pun terpesona. 
Apabila menulis, idea dan hujah penulisannya mampu membuatkan orang percaya tanpa sedikit pun ada ragu, padahal tanpa sedar mereka hanya tertipu dalam kesesatan yang nyata. Segala hujah yang dilemparkan hanya menggunakan logik akal semata-mata. Tiada ilmu dan iman yang memandu kalamnya. Sehingga berlakulah orang yang mengaku tuhan dan nabi akhir zaman lantaran 'bakat'nya berkata-kata mampu membuatkan manusia percaya. 
Demikianlah bakat yang digilap dan garap tanpa panduan yang sebenarnya. Jauh menyimpang, melalaikan malah boleh saja menyesatkan. 
 Kenali Potensi Diri
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap hambaNya akan dikurniakan kelebihan dan kebaikan yang berbeza dan bertahap. Justeru, perlu bagi kita untuk mencari kelebihan dan kebaikan itu untuk dimanfaatkan. Samada untuk diri sendiri atau kepada manusia yang berada di sekelilingnya.
Demikianlah juga dengan potensi diri yang ada pada diri. Perlu digali dan dikaji. Semakin ia dikaji maka semakin pula kita mudah mengenali dan memahami diri kita sendiri. Semakin kita memahami diri sendiri, insyaAllah kita akan dapat membantu insan di sekeliling kita untuk mengetahui dan mengenal potensi diri mereka pula. Seterusnya akan dapat mengubah diri kita dan orang lain ke arah yang lebih baik.
Kesimpulannya, berjaya atau tidak terletak pada diri sendiri berserta dengan izin daripada Allah SWT. Seandainya potensi diri sendiri diyakini dan disertai dengan kegigihan tanpa mengenal erti susah payah, kejayaan yang didambakan pasti menjadi kenyataan. Demikianlah pepatah arab ada mengatakan,
"Sesiapa yang bersungguh-sungguh, maka dia akan berjaya"
Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment