Teringat saya dahulu apabila keputusan kami masing-masing diumumkan di sekolah pada Mac 2006, kami sama setia berkongsi rasa. Kepada yang cemerlang kami raikan, kepada yang kurang berjaya kami sama bangkit memberi sokongan.
Alhamdulillah, cukup manis sekali bila dikenangkan.
Buat teman-teman sekalian, khususnya buat adik-adik yang sudah menerima keputusan SPM, andai kata kamu rasa kamu antara orang yang gagal, maka nasihat saya lihatlah semula pada diri sendiri. Tanyakan pada diri, apa sebabnya aku gagal? Mungkinnya kamu gagal kerana kamu kurang belajar. Mungkinnya kamu gagal kerana kamu gagal mengatur masamu. Mungkinnya kamu gagal kerana sikapmu yang suka mengata guru, yang kurang beradab di dalam kelasnya. Mungkinnya kamu gagal kerana kamu kurang berdoa. Mungkin juga kamu gagal kerana sebelum ini menunjuk-nunjuk dengan kepandaianmu. Tanyalah dirimu secara jujur, pasti kamu akan menemui jawapan bagi kegagalanmu.
"Dan apa jua yang menimpa kamu dari suatu kesusahan, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan yang salah dan berdosa); dan Allah memaafkan sebahagian besar dosa-dosa kamu." (Asy Syura: 30)
"Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri..." (An Nisa': 79)
Pada siapa yang merasa dia sudah kuat berusaha (jujurlah!) tapi masih keputusannya tidak memuaskan, maka bertenanglah. Allah tahu apa yang terbaik buatmu. Lihatlah semula pada dirimu. Mungkin saja kamu sudah berusaha, tapi kamu kurang meminta kepada Yang Memberi Nikmat. Mungkin juga Allah – dengan kasih sayang-Nya mengurniakan kamu kegagalan supaya kamu beringat untuk lebih berusaha dan mengingat-iNya di masa akan datang. Juga janganlah kamu merasa kecewa dan putus asa pada kegagalan ini. Buangkanlah segala yang negatif dari dalam dirimu dan mulakan langkahan yang baru dengan lebih bertenaga!
"Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang (sungguh) beriman." (Ali 'Imran: 139)
Andai kata kamu antara yang berjaya, maka pulangkanlah kejayaan itu kepada Allah. Ya, mungkin saja kamu punya otak genius; ataupun sudahpun berusaha mati-matian untuk kejayaan itu, tapi hakikat yang tak akan pernah padam bahawa Allah yang memberi kamu kejayaan. Dia jugalah yang memberi kamu kesempatan hidup; nikmat keselesaan belajar; nikmat kamu boleh menulis; boleh membaca; boleh menghafal; kamu punya kudrat melangkahkan kaki ke dewan peperiksaan, semuanya dari Dia, Allah Yang Maha Kuasa, Yang Menguasai Segalanya. Jadi adakah tidak wajar kita pulangkan semula kejayaan kepada Yang Selayaknya. Maka ucaplah 'alhamdulillah', dan tingkatkanlah amal ibadah sebagai tanda kita seorang hamba yang bersyukur.
"Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu; dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Ibrahim: 7)
Usahlah terlalu gembira dan berbangga-bangga atas kejayaan ini. Boleh jadi apa yang kamu dapati ini juga adalah ujian dari-Nya. Allah mahu melihat apakah kamu akan sombong dan lupa pada-Nya. Dia mahu melihat adakah kamu hamba-Nya yang hanya tahu meminta-minta di waktu sempit, sedangkan terus lupa ketika sudah beroleh kesenangan. Dia mahu melihat apakah kamu akan biarkan rasa 'bijak' kamu menguasai kehidupanmu, tutur katamu, cara pergaulanmu; apakah kamu akan bertindak bongkak terhadap teman-teman yang lain atas kejayaan kamu. Maka merendah dirilah. Allah sedang mengujimu dengan kejayaan, sejauh mana kamu 'percaya' pada-Nya.
"Alif Lam Mim. Patutkan manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'Kami beriman'; sedang mereka tidak diuji (dengan suatu cubaan). Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Al Ankabut: 1-3)
Kepada adik-adik, teman-teman yang bakal mengambil SPM pada tahun-tahun yang akan datang, ambillah pengajaran dari saudara-saudara yang terlebih dahulu mendahului kamu. Belajarlah dari kegagalan mereka. Beringat-ingatlah juga atas kejayaan mereka. Apapun, hidup ini insyaallah masih panjang. Masih banyak ujian yang lebih besar dan lebih utama dari peperiksaan SPM. Masih banyak 'keputusan' yang lebih penting dalam hidup ini, daripada slip SPM yang kini sudah kamu genggam. Beringatlah, berakhirnya SPM tidak bererti kamu bebas untuk bersuka-suka di dunia. Berakhirnya SPM tidak bermakna kamu tidak lagi terikat dengan apa-apa peraturan. Peraturan Allah itu tetap ada, dan hanya dengan mengamalkannya barulah kita mampu dikira 'berjaya'.
Akhir kalam, ayuhlah kita sama-sama beringat, tidak kira berapa usia kita; tidak kira berapa 'A' mahupun 'E' yang terletak pada slip keputusan SPM kita, hidup kita tujuannya tiada beza. Kita semua akan akhirnya sama dihadapkan ke hadapan Allah di Padang Mahsyar nanti. Di sana hanya iman dan amal yang bisa membezakan kita. Mungkin saja kita bisa gagal dalam segala jenis peperiksaan di dunia, asalkan jangan terkandas ketika tiba masa malaikat bertanya, 'Ma Rabbuka?'. Maka peruntukkanlah hidup kita hanya untuk mencari redha Yang Esa. Semoga kejayaan di 'saat yang akhir' itu akan jadi milik kita.
No comments:
Post a Comment